Minggu ini, kandungan saya telah mencecah usia 3 bulan. Saya pula akan membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan pada minggu hadapan. Tidak sabar rasanya melihat kembali embrio dahulu yang kini dipanggil fetus. Saat pertama kali melihat degupan jantungnya adalah saat yang membahagiakan. Perasaan takjub, bertuah dan bersyukur hadir bersilih ganti kerana dapat melihat ciptaan Tuhan yang sekecil itu bertunas serta membesar dalam rahim saya. Dan pada minggu hadapan juga, saya mulai memasuki trimester kedua untuk kehamilan pertama ini.
Oh ya, minggu hadapan saya akan memulakan semester 3 bagi pengajian sarjana saya. Semester ini merupakan semester yang terakhir sebelum saya memulakan kerja kursus (projek) dan akhirnya menamatkan pengajian selama 2 tahun. Saya sebenarnya tidak bercadang untuk menangguhkan pengajian atas sebab seperti kehamilan, jarak yang jauh dari universiti dan kesihatan diri. Sekiranya ada keperluan yang mendesak pada kemudian hari, ya, saya akan mempertimbangkan penangguhan belajar. Namun setakat ini, kesihatan diri masih lagi memuaskan, alhamdulillah. Syukur tiada alahan atau morning sickness yang teruk seperti kelaziman ibu mengandung. Mungkin kerana ayahnya yang jauh di mata, baby tidak mahu menyusahkan ibunya yang berdikari di negeri orang ini, hehe. Thank you baby, mummy loves you to the moon and back a thousand times over. Walaupun pada minggu-minggu awal dahulu saya sering berasa keletihan yang amat setelah memandu jauh, namun kini keadaan pulih seperti biasa. Moga-moga stamina ini berkekalan hingga miggu ke-40.
Adalah juga.. kadang-kadang saya membuat catatan mental tentang diari ibu mengandung ini. Bagaimana inisiatif saya menambah ilmu tentang keperluan pemakanan, persekitaran, keselamatan diri, perubahan emosi dan psikologi. Namun, bagi saya, kesemua panduan tersebut akan hilang jika tidak diamalkan. Jadi, perlu amalkan walau sedikit. Mungkin saya tidak dapat melaksanakan kesemua petua dengan sesempurna mungkin, tetapi saya sedang menjalani kehidupan sebenar dan seboleh mungkin saya mahu menikmati saat-saat indah ini (oh sampai begitu sekali kamu membuat justifikasinya ya!). Atau mungkin hormon ibu mengandung ini sememangnya berciri kemalasan dan ingin dimanjakan saja, haha.
Pada ketika ini, saya sedang mendengar lagu Richard Marx, Endless Summer Nights. Mummy jiwang kah? Rasa-rasanya? Ya, pernah suatu ketika dahulu, waktu zaman tingkatan 4 dan 5. Saya sering menjadi pendengar setia segmen "love song & dedication" di sebuah stesen radio berbahasa inggeris pada waktu malam sambil mengulang kaji. Kalau tidak, masakan pernah mencintai sastera dan puisi inggeris juga? Itu semua cerita suatu ketika dahulu. Sekarang? Si idealis pragmatis kecil itu telah berubah, seiring kematangan pemikirannya dan pembacaannya. Kadang-kadang ingin juga kembali menjadi diri yang dahulu. Tiada permasalahan yang berat, bebas berimaginasi tentang apa nak jadi bila sudah besar nanti dan begitu positif dengan kehidupan. Saya yang dahulu.. huhu.
Baiklah, rasanya setakat ini yang dapat saya coretkan. Mungkin ada perkongsian yang lebih menarik pada entri yang seterusnya. Saya tahu suami saya membaca blog ini, hai abang! Kadangkala dia akan bertanya, adakah saya telah menerbitkan entri terbaru. Tetapi saya sering beri alasan penat lah, malas lah, tiada idea lah.. hehe. Ada-ada saja kan si isteri mengada-ngada ini. Sudah pukul 10 malam, saya mahu solat isyak sebelum tidur. Esok mahu bertemu janji dengan suami di Alor Setar, menghadiri majlis akikah anak rakannya di sana.
Salam xx