Wednesday, May 8, 2013

minggu ke-23

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Selamat datang bulan Mei. Berakhir sudah tempoh permohonan pindah, keputusan pilihan raya ke-13 telah diketahui, dan hampir selesai semester 3 tidak lama lagi. Peperiksaan semester pula akan bermula pada 31 Mei, 2 Jun dan 7 Jun nanti. Apa yang ditunggu-tunggu sekarang ini ialah keputusan permohonan pertukaran antara negeri. Harap-harap adalah rezeki buat kami. Bayi ini juga semakin aktif dari hari ke hari, membuat tendangan apabila ibunya sedang berehat sehingga kadangkala bergegar perut dibuatnya (seperti sekarang ini). Terima kasih ya Allah atas peluang merasai nikmat istimewa ini. 

Saya telah membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan semalam. Hasilnya, berat bertambah 1 kilogram kepada 56kg, hemoglobin juga telah naik daripada 11.8 kepada 12.0, dan tekanan darah ialah 120/80. Ini semua hasil kerja keras saya sejak 3 minggu yang lalu sebenarnya. Saya telah dinasihatkan oleh jururawat agar menjaga pertambahan berat badan iaitu tidak naik terlalu banyak. Jadi, saya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang risiko yang bakal dihadapi jika berat terus bertambah. Melalui tips daripada seorang rakan sekerja yang mempunyai 5 orang anak, saya lebih beringat ketika makan. Manakala bagi meningkatkan bacaan hemoglobin, saya mengambil lebih banyak ikan bilis, jambu batu dan peria. Semuanya dilakukan untuk bayi yang dikandung ini, agar dia mendapat bekalan darah merah dan kalsium yang mencukupi.

Akhir sekali, temu janji pada minggu hadapan ialah MGTT (modified glucose tolerance test) yang wajib diambil oleh setiap ibu mengandung apabila kandungannya memasuki 6 bulan. Pada pagi Isnin minggu hadapan, insyaAllah saya akan mengahadapi ujian ini. Doakan agar tahap gula dalam darah baik-baik sahaja.

No comments: