Wednesday, May 15, 2013

6 bulan 4 hari

Lama rasanya tak mengemaskini blog. Eh, bukan sudah ada satu entri minggu lepas ke? hehe.. saja nak buat pengenalan ayat lah tu. Okay, jadi saya sudah mengambil MGTT pada hari Isnin yang lalu. Nak cerita sedikit pengalaman. 

Sesiapa yang akan merasai MGTT perlu berpuasa sehari sebelumnya mulai jam 10 malam. Keesokan pagi, saya ke klink dan diambil rekod darah sebelum dan selepas minum air gula. Air gula saya diberi dalam segelas tinggi dengan perasa oren yang amat-amat manis. Saya berjaya juga menghabiskan air dalam gelas tersebut setelah 3-4 kali berhenti untuk mengambil nafas, menenangkan emosi sambil memotivasikan diri. 

Minum air gula adalah sesuatu yang mudah, tetapi agak susah apabila kita tidak makan minum apa-apa sejak 10 jam sebelumnya. Boleh dikatakan selepas minum air gula, saya berasa mengantuk dan kebosanan di klinik kerana perlu menunggu 2 jam untuk diambil bacaan darah selepas ujian. Satu jam yang pertama, saya gagahkan diri menatap majalah lama di ruang bacaan klinik, tetapi akhirnya saya keluar juga kerana berasa tidak tahan, kelaparan dan seolah-olah hampir pitam. Keluar saja dari klinik dan masuk ke dalam kereta, saya menghidupkan enjin mahu berjalan-jalan mencuci mata. Saya berasa lebih lega.

Saya membeli makanan untuk dimakan apabila 2 jam berlalu. Hampir saja jam tangan menunjukkan pukul 10.30 saya kembali ke klinik dan jururawat sedang mencari saya. Baiklah.. jururawat memberitahu saya bahawa saya tidak sepatutnya berjalan ke mana-mana kerana bimbang bacaan gula saya akan tinggi. Saya hanya pasrah, kerana saya tahu kebosanan saya lebih teruk jika saya menunggu saja. Petang itu, saya ke klinik untuk mengambil keputusan iaitu sebelum (berpuasa) : 4.2 dan selepas (MGTT) : 7.4. Anggaplah rezeki, kerana saya sepatutnya tidak berjalan ke mana-mana. Harus duduk diam dan berehat saja di bangku klinik sebenarnya. Alhamdulillah, saya tidak perlu mengulangi ujian ini lagi. 

Seterusnya, saya menunggu pula pemeriksaan bulanan pada awal Jun nanti beserta suntikan ATT dos ke-2. Saya juga menunggu waktu untuk membuat detail scan dan insyaAllah 3D/4D di klinik ultrasound apabila kandungan memasuki usia 7 bulan. Nampaknya kehamilan ini semakin menghampiri trimester terakhir. Ilmu keibubapaan masih cetek apatah lagi ilmu penyusuan. Masih juga belum menyediakan barang keperluan bayi. Mungkin akan membelinya pada cuti sekolah ini. Ada sedikit debaran dan keterujaan di dalam hati, macam nak berkahwin sekali lagi.. eh..? Ibu gurau je baby.. hihi.

Bayi yang dikandung ini semakin suka menggeletek perut ibunya dengan jari-jemari. Cucuk-cucuk pinggang ibu sana sini, eh eh apa ni.. Tendang-tendang manja takpa ye anak. Jangan kuat sangat, ibu risau nanti ligamen perut lari ke apa.

Wednesday, May 8, 2013

minggu ke-23

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Selamat datang bulan Mei. Berakhir sudah tempoh permohonan pindah, keputusan pilihan raya ke-13 telah diketahui, dan hampir selesai semester 3 tidak lama lagi. Peperiksaan semester pula akan bermula pada 31 Mei, 2 Jun dan 7 Jun nanti. Apa yang ditunggu-tunggu sekarang ini ialah keputusan permohonan pertukaran antara negeri. Harap-harap adalah rezeki buat kami. Bayi ini juga semakin aktif dari hari ke hari, membuat tendangan apabila ibunya sedang berehat sehingga kadangkala bergegar perut dibuatnya (seperti sekarang ini). Terima kasih ya Allah atas peluang merasai nikmat istimewa ini. 

Saya telah membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan semalam. Hasilnya, berat bertambah 1 kilogram kepada 56kg, hemoglobin juga telah naik daripada 11.8 kepada 12.0, dan tekanan darah ialah 120/80. Ini semua hasil kerja keras saya sejak 3 minggu yang lalu sebenarnya. Saya telah dinasihatkan oleh jururawat agar menjaga pertambahan berat badan iaitu tidak naik terlalu banyak. Jadi, saya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang risiko yang bakal dihadapi jika berat terus bertambah. Melalui tips daripada seorang rakan sekerja yang mempunyai 5 orang anak, saya lebih beringat ketika makan. Manakala bagi meningkatkan bacaan hemoglobin, saya mengambil lebih banyak ikan bilis, jambu batu dan peria. Semuanya dilakukan untuk bayi yang dikandung ini, agar dia mendapat bekalan darah merah dan kalsium yang mencukupi.

Akhir sekali, temu janji pada minggu hadapan ialah MGTT (modified glucose tolerance test) yang wajib diambil oleh setiap ibu mengandung apabila kandungannya memasuki 6 bulan. Pada pagi Isnin minggu hadapan, insyaAllah saya akan mengahadapi ujian ini. Doakan agar tahap gula dalam darah baik-baik sahaja.