Tuesday, June 25, 2013

Saturday, June 22, 2013

minggu ke-30

Pemeriksaan kandungan
dilakukan semalam, di Ayer Keroh, Melaka. Berat baby, 1.7 kilogram. Air ketuban okay, kedudukan uri okay.. dan paling penting, keadaan saya pun okay. Selera makan okay, tetapi perlu pengawasan berterusan kerana nafsu makan lebih cenderung ke arah makanan manis belaka, kek, ais krim, coklat.. oh sedapnyaa tapi tidak elok untuk kesihatan saya dan baby. Makan sikit-sikit takpa. Pemeriksaan seterusnya pada 25 haribulan ini, iaitu minggu hadapan di klinik kesihatan. Agak bimbang dengan pertambahan berat badan, tapi saya harap semuanya okay.

Persediaan baby
Disebabkan mommy sudah membeli rumah baru, jadi kita perlu berjimat-cermat dalam perbelanjaan akan datang. Orang lain mengandung mengidam makanan, ibu awak ni mengidam nak rumah baru. Macam mana pula dengan anak ke-2, ke-3 dan seterusnya? hahaha.. ok, persediaan baby ada kemajuan sikit, tapi masih slow ikut mood. Rasa nak beli, beli.. rasa malas, nanti dulu lah.. Sekarang ni lebih fokus pada persediaan kedatangan pegawai pemantau di tempat kerja pada 1 Julai nanti. Juga ternanti-nanti keputusan pertukaran yang belum kunjung tiba. Harap dapat berpuasa dan berbuka bersama suami serta keluarga pada Ramadhan kali ini.

 
EDD 10 minggu lagi, phew..
sekian, saya pada minggu ke-30

Saturday, June 15, 2013

minggu ke-29

Disebabkan hujung minggu kali ini saya mempunyai begitu banyak masa terluang (kerana tiada lagi komitmen kelas sarjana dan berada jauh dari keluarga), jadi saya memutuskan untuk mengeluarkan sebuah lagi entri baru. 

Trimester baru, semangat pun baru. Semangat apa? Semangat membeli-belah. Apa yang dapat saya katakan ialah saya menganalisis harga dan kualiti material pada setiap barangan di dalam kedai tersebut. Inilah hasil berada di dalam kedai barangan bayi selama 1 jam lebih hari ini. Saya telah membeli beberapa set baju, seluar, topi dan sarung tangan, sarung kaki (mittens & booties), rompers dan 3 helai barut.


Namun begitu, masih ada lagi barangan yang akan dibeli dalam masa terdekat ini. Antaranya ialah: 
  • changing mat
  • mosquito net
  • maternity pads
  • nail clipper
  • cotton balls
  • liquid cleanser
  • bottle brush 
  • drying rack

Saya telah terjumpa set playgym yang diidam-idamkan semasa melihat-lihat bahagian stroller dan playpen bayi. Memang sudah lama membayangkan set ini untuk bakal anak kelak. Dan harganya juga kelihatan okay. Mungkin akan membelinya nanti.

Selain itu, dari segi perbandingan harga, saya lebih cenderung memilih jenama pureen dan fiffy yang lebih murah harganya. Mungkin kualitinya kurang sedikit berbanding dengan anakku, tetapi ini adalah persediaan asas yang memerlukan jangka masa 0-9 bulan untuk bayi membesar. Selepas itu, kita akan fikirkan perkembangan pembelajaran anak dan bajet kewangan pula ya. 

Seboleh-bolehnya saya cuba menyeimbangkan antara keperluan menabung dan memenuhi kehendak serta naluri seorang ibu yang mahu mempersiapkan kelengkapan untuk anaknya tidak lama lagi. Ia bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi perempuan yang pertama kali mengandung. Tentunya mahu persediaan yang secukupnya dan bukan pada saat-saat akhir. Saya pasti ibu-ibu masa kini pernah melalui pengalaman ini dengan perasaan yang sama. Mereka memahami situasi penuh emosi ini. Pada saya, tiada salahnya meraikan kehadiran anak pertama lebih sedikit kerana pengalaman tersebut adalah yang pertama dalam hidup seorang ibu.

Friday, June 14, 2013

minggu ke-28

Cukup sebulan tidak mengemaskini blog. 4 minggu telah berlalu dan kini kandungan saya memasuki trimester terakhir iaitu T3, yang telah bermula pada 8 Jun. Minggu-minggu yang lalu terisi dengan persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester 3, cuti sekolah di kampung halaman dan menziarah saudara-mara di pantai timur (Kelantan).

Pemeriksaan bulanan telah saya lakukan di Kelantan dan Selangor. Maklumlah pada ketika itu saya sedang bercuti. Jadi, buku merah jambu harus dibawa bersama ke mana sahaja saya pergi. Suntikan kedua ATT juga saya dapatkan di Klinik Kesihatan Sungai Besar, sebelum bertolak ke Pulau Pangkor untuk berkursus selama 3 hari di sana. 

Selain itu, imbasan 3D/4D untuk bayi telah saya lakukan di klinik panel, Ayer Keroh, Melaka pada minggu ke-25 kandungan. Dan inilah gambar yang dapat saya kongsikan.


Bagaimana persediaan dan kelengkapan menyambut bayi? Masih sedikit yang baru dibeli. Setakat ini ada 5 helai baju dan seluar, sarung tangan dan kaki ada 4-5 pasang, sehelai selimut, tuala, barut dan satu set lampin bayi. Saya juga telah membeli beberapa barang keperluan untuk penyusuan seperti breast pad, baby wipes, dan breastmilk storage bottles, dan  laundry detergent. Set tilam kekabu untuk bayi juga telah disiapkan sebelum cuti sekolah yang lalu. Seterusnya, saya juga telah menghadiri kelas penyusuan anjuran Avent di Sungai Besar dengan yuran yang murah pada 1 Jun yang lalu.

Bagaimana keadaan ibu? Setakat ini masih sihat dan memuaskan. Cuma kini saya berasa perut saya semakin berat dan sarat. Hendak mengubah posisi badan ketika tidur pun agak sukar. Makan sedikit pun sudah berasa penuh dan susah bernafas, serta tercungap mengambil nafas apabila membaca ayat Quran. Solat harian masih lagi ok, cuma perlu rukuk dan sujud dengan lebih perlahan, untuk kestabilan dan menampung berat badan (berat kini ialah 58.5 kg dengan hemoglobin 12.3).

Selepas ini saya akan mula membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan pada setiap 2 minggu sekali sehinggalah kandungan berusia 8 bulan, dan seminggu sekali apabila mencecah 9 bulan. Temujanji seterusnya adalah pada 25 Jun ini dan pada minggu sebelum bulan puasa. Nampaknya saya akan berpuasa penuh pada tahun ini, insyaAllah.