Cukup sebulan tidak mengemaskini blog. 4 minggu telah berlalu dan kini kandungan saya memasuki trimester terakhir iaitu T3, yang telah bermula pada 8 Jun. Minggu-minggu yang lalu terisi dengan persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester 3, cuti sekolah di kampung halaman dan menziarah saudara-mara di pantai timur (Kelantan).
Pemeriksaan bulanan telah saya lakukan di Kelantan dan Selangor. Maklumlah pada ketika itu saya sedang bercuti. Jadi, buku merah jambu harus dibawa bersama ke mana sahaja saya pergi. Suntikan kedua ATT juga saya dapatkan di Klinik Kesihatan Sungai Besar, sebelum bertolak ke Pulau Pangkor untuk berkursus selama 3 hari di sana.
Selain itu, imbasan 3D/4D untuk bayi telah saya lakukan di klinik panel, Ayer Keroh, Melaka pada minggu ke-25 kandungan. Dan inilah gambar yang dapat saya kongsikan.
Bagaimana persediaan dan kelengkapan menyambut bayi? Masih sedikit yang baru dibeli. Setakat ini ada 5 helai baju dan seluar, sarung tangan dan kaki ada 4-5 pasang, sehelai selimut, tuala, barut dan satu set lampin bayi. Saya juga telah membeli beberapa barang keperluan untuk penyusuan seperti breast pad, baby wipes, dan breastmilk storage bottles, dan laundry detergent. Set tilam kekabu untuk bayi juga telah disiapkan sebelum cuti sekolah yang lalu. Seterusnya, saya juga telah menghadiri kelas penyusuan anjuran Avent di Sungai Besar dengan yuran yang murah pada 1 Jun yang lalu.
Bagaimana keadaan ibu? Setakat ini masih sihat dan memuaskan. Cuma kini saya berasa perut saya semakin berat dan sarat. Hendak mengubah posisi badan ketika tidur pun agak sukar. Makan sedikit pun sudah berasa penuh dan susah bernafas, serta tercungap mengambil nafas apabila membaca ayat Quran. Solat harian masih lagi ok, cuma perlu rukuk dan sujud dengan lebih perlahan, untuk kestabilan dan menampung berat badan (berat kini ialah 58.5 kg dengan hemoglobin 12.3).
Selepas ini saya akan mula membuat pemeriksaan bulanan di klinik
kesihatan pada setiap 2 minggu sekali sehinggalah kandungan berusia 8
bulan, dan seminggu sekali apabila mencecah 9 bulan. Temujanji
seterusnya adalah pada 25 Jun ini dan pada minggu sebelum bulan puasa.
Nampaknya saya akan berpuasa penuh pada tahun ini, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment