Tuesday, February 19, 2013

minggu ke-12

Hari ini saya membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan. Berat badan bertambah sebanyak 0.5 kg, hemoglobin juga meningkat dari 12.1 kepada 13.4 dan tekanan darah juga naik sedikit dari 110/70 kepada 120/80. Pada mulanya saya tidak berniat mahu mengambil cuti rehat khas untuk pemeriksaan bulanan, memandangkan tempoh yang diambil hanya kira-kira 2 jam sahaja dan waktu pengajaran saya hanya lima waktu pada hari ini. Sayangnya jika CRK dihabiskan begitu sahaja. Tetapi, nada suara pihak pentadbir seolah-olah mencadangkan saya mengambil cuti satu hari terus. Setelah difikir-fikirkan, saya mengambil cuti sahaja hari ini. 

Pagi-pagi lagi saya sudah duduk menunggu giliran di klinik. Setelah membuat pemeriksaan itu dan ini, rupa-rupanya tiada scan dilakukan dan saya habis lebih awal iaitu pada pukul 8.50 pagi. Alahai, agak terkilan sedikit, sayangnya cuti hari ini :-( Akan tetapi, saya bercadang mengubah hari ini untuk memanjakan diri saya. Selesai saja pemeriksaan, saya terus membuat rawatan muka, menikmati cheezy wedges sebagai alas perut dan kemudian membeli dua helai tudung baru. Langkah semakin jauh dengan melawat pasaraya untuk membeli barang keperluan dapur dan kasut serta blaus panjang yang baru :-) Seterusnya, saya ke kedai bayi membeli susu tepung dan ke kedai buku membeli alat tulis. Akhir sekali, saya membeli makanan tengah hari. Saya telah memesan air teh ais buat pertama kalinya dalam masa 3 bulan ini. Agak lama memendam keinginan pada air teh tetapi setelah nurse mengatakan ''ya", saya tidak berlengah menikmati minuman tersebut. Makanan tengah hari saya pula selalunya kelihatan seperti ini, nasi separuh, 3-4 ekor sotong, 1-2 biji tauhu jepun dan brokoli hijau. Makanan ini sentiasa membuka selera saya berbanding lauk-pauk yang lain. 



Disebabkan tiada sebarang scan dilakukan pada hari ini, jadi saya ingin membuat pengakuan bahawa scan telah dibuat semalam, di klinik swasta, hahaha. Saya melakukannya kerana rakan sekerja menyatakan mesin ultrasound di situ lebih baik berbanding di klinik lain. Maka, inilah perkembangan bayi pada minggu ke 12 dan 4 hari. Tarikh EDD kian berinjak ke belakang, tetapi menurut nurse, tarikh EDD pada buku rawatan akan digunakan sebagai rujukan. Berkemungkinan saya akan melahirkan bayi ini pada penghujung bulan Ogos tahun ini, insyaAllah. Oh ya, baby bump telah kelihatan sedikit, tetapi masih kurang menonjol dengan pakaian yang longgar. Saya telah melihat degupan jantung, serta tangan dan kaki baby bergerak-gerak, masyaAllah. Ada dua tangan dan dua kaki, alhamdulillah. Jantina pula akan diketahui pada bulan hadapan, mungkin pada temujanji seterusnya pada penghujung Mac nanti, insyaAllah. 

Assalamualaikum baby..

No comments: