Wednesday, May 8, 2013

minggu ke-23

Masa dirasakan begitu cepat berlalu. Selamat datang bulan Mei. Berakhir sudah tempoh permohonan pindah, keputusan pilihan raya ke-13 telah diketahui, dan hampir selesai semester 3 tidak lama lagi. Peperiksaan semester pula akan bermula pada 31 Mei, 2 Jun dan 7 Jun nanti. Apa yang ditunggu-tunggu sekarang ini ialah keputusan permohonan pertukaran antara negeri. Harap-harap adalah rezeki buat kami. Bayi ini juga semakin aktif dari hari ke hari, membuat tendangan apabila ibunya sedang berehat sehingga kadangkala bergegar perut dibuatnya (seperti sekarang ini). Terima kasih ya Allah atas peluang merasai nikmat istimewa ini. 

Saya telah membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan semalam. Hasilnya, berat bertambah 1 kilogram kepada 56kg, hemoglobin juga telah naik daripada 11.8 kepada 12.0, dan tekanan darah ialah 120/80. Ini semua hasil kerja keras saya sejak 3 minggu yang lalu sebenarnya. Saya telah dinasihatkan oleh jururawat agar menjaga pertambahan berat badan iaitu tidak naik terlalu banyak. Jadi, saya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang risiko yang bakal dihadapi jika berat terus bertambah. Melalui tips daripada seorang rakan sekerja yang mempunyai 5 orang anak, saya lebih beringat ketika makan. Manakala bagi meningkatkan bacaan hemoglobin, saya mengambil lebih banyak ikan bilis, jambu batu dan peria. Semuanya dilakukan untuk bayi yang dikandung ini, agar dia mendapat bekalan darah merah dan kalsium yang mencukupi.

Akhir sekali, temu janji pada minggu hadapan ialah MGTT (modified glucose tolerance test) yang wajib diambil oleh setiap ibu mengandung apabila kandungannya memasuki 6 bulan. Pada pagi Isnin minggu hadapan, insyaAllah saya akan mengahadapi ujian ini. Doakan agar tahap gula dalam darah baik-baik sahaja.

Monday, April 22, 2013

buku dan majalah

Sebenarnya sudah lama hendak dikongsikan di sini, iaitu bahan bacaan yang saya gunakan untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehamilan dan penjagaan kesihatan diri ibu mengandung. Selain daripada membaca maklumat daripada laman web seperti blog dan forum, saya kongsikan beberapa buah buku dan majalah yang bersesuaian.

Buku yang dipinjam daripada perpustakaan Tunku Bainun UPSI.

Buku-buku ini saya baca semasa awal kehamilan dahulu, iaitu bermula sekitar minggu ke-6. Maklumlah ketika itu masih baru lagi dalam ilmu keibubapaan dan pengetahuan amat cetek. Dari sini saya mula memahami tentang perubahan diri dan perkembangan janin sepanjang kehamilan.




Koleksi awal buku tentang kehamilan (Februari)

Kemudian, setelah usia kandungan memasuki 2 bulan lebih, saya telah membeli sendiri beberapa buah bahan bacaan daripada kedai buku seperti MPH dan Popular.


Buku belian daripada Pesta Buku Habibi di Parit Buntar, sekitar bulan Mac.


Koleksi seterusnya (April)

Saya memulakan ruang lingkup yang lebih meluas dengan buku tentang amalan harian serta nama untuk bayi apabila dilahirkan kelak. Buku Kamus Tematik di atas dibeli di Gramedia, Bandung. Satu-satunya buku dari luar negara semasa bercuti awal bulan ini.

Majalah

Saya bukanlah peminat majalah yang tetap setiap bulan, tetapi suami telah membeli beberapa majalah untuk dibaca seperti Pa&Ma, Mami Baby dan majalah pilihan hati saya, Smart Parenting. 


Sebelum entri ini melabuhkan tirainya, saya kongsikan gambar ultrasound terkini, iaitu pada minggu ke-19, lebih kurang 2 minggu yang lalu. Bulan hadapan saya akan membuat pemeriksaan selanjutnya. Harus berhati-hati dengan pertambahan berat badan dan aras hemhoglobin saya nanti. MGTT pula akan dilakukan pada pertengahan Mei nanti. Semoga segalanya berjalan dengan baik, amin.


Thursday, April 11, 2013

minggu ke-19

Err.. tak tau nak taip apa. Walaupun sudah berniat berhari-hari mahu memblog kembali. Seperti biasa, saya akan menulis hal sekitar pakaian, pemakanan, perkembangan, pengembangan, pertumbuhan dan perubahan. Ada perkara yang saya mahu kongsikan dalam blog, tetapi bila berada di depan skrin, perkara tersebut kelihatan remeh dan tidak penting. Secara automatik, ia dianggap simptom normal untuk ibu mengandung. 

Okay. Mari mengemaskini segala jenis perubahan yang telah berlaku sejak 3 minggu yang lepas. 

Pakaian / fesyen ibu mengandung:
  • sudah mula membeli sedikit demi sedikit maternity blouse, maxi, pregnancy skirts dan pants. 
  • mula memakai pakaian yang telah dibeli secara perlahan-lahan.
Pemakanan :
  • bertukar selera kepada makanan manis seperti aiskrim coklat, kek coklat dan keju manis.
  • suka bihun sup, laksa tak mahu 
  • suka air bandung ais
Pengembangan
  • saya kelihatan seperti membawa sebiji bola kecil di dalam baju 
  • cincin pernikahan 7 bulan yang lalu sudah tidak muat untuk disarung di jari manis, padahal semasa membeli dahulu, cincin ini begitu longgar...
  • mula menggunakan minyak bio oil untuk mengurangkan stretch mark.
Perkembangan
  • saya membuat ultrasound semalam di klinik, jantina anak sudah diketahui. Menurut doktor, anak lelaki. Tapi nanti kita sahkan betul-betul bila masuk 7 bulan nanti.
  • berat bayi setakat ini, menurut mesin ultrasound ialah 336 gram
  • saya akan membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan pada minggu hadapan, iaitu minggu ke-20 (5 bulan)
Perubahan 
  • Mula merasa quickening sejak minggu ke-18 dan merasainya lebih kerap hampir setiap hari kini, pagi, tengahari, petang dan malam.
  • Mula berasa susah bergerak secara drastik. Perlu ansur maju ketika mahu duduk, berdiri, atau mengubah posisi badan, kerana perut semakin besar dan mengelakkan kesakitan abdomen
  • kadangkala sukar mencari posisi tidur yang selesa. Tidur mengiring sebelah kanan lebih selesa bagi saya dan pregnancy pillow adalah penyelamat tulang belakang.
Shopping
  • Tajuk ekstra, haha. Sebenarnya belum mula membeli barang keperluan lagi. Sekadar membaca blog-blog ibu mengandung lain yang berkongsi pengalaman mereka sahaja.
  • Dan sekadar melihat-lihat dahulu kualiti barang-barang comel (dan tanda harga sekali)

Itu sahaja buat kali ini. Nanti kita tulis lagi.
p/s: baby tendang, suruh ibu tidur sekarang, haha.